Perjuangan di dunia Kemenangan di akhirat

Penulis jemputan menulis tentang penjagaan ibunya diakhir hayatnya

Oleh AIAM

Pengalaman menjaga arwah mak yang menghidap kanser multiple myeloma benar-benar menuntut komitmen, pengorbanan, kesabaran, dan toleransi yang tinggi dari kami sekeluarga. Pada peringkat awal, kami menghormati keputusan mak yang tak mahu dirawat dihospital dan mencuba kaedah alternatif orthomolecular medicine dengan seorang professor di ********.. Diet pemakanan, atur makan ubat, fisioterapi, infrastruktur kesemuanya kami sediakan dan disiplinkan sebaik mungkin. Tak cukup dengan itu, kami pastikan mak sentiasa berteman dan tidak berseorangan. Untuk itu kami sekeluarga akan bergilir mengambil cuti kerja termasuk menukar jadual waktu kerja.

Setelah keadaan kesihatan mak makin merosot, kami mengambil keputusan untuk menghantar mak ke hospital. Tahap kesedarannya merosot akibat kerosakan fungsi buah pinggang menyebabkan terlalu banyak toksik dalam badan. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan doktor menerangkan kepada semua ahli keluarga tentang kondisi mak yang sangat kritikal. Pada tahap ini semua rawatan yang diberikan oleh pihak hospital adalah berisiko dan kami diminta untuk memahami situasi ini.

Selama 2 bulan mak terlantar di ICU dalam keadaan koma serta disokong alat bantuan pernafasan kami tetap tak biarkan mak sendiri. Kami bergilir tidur di bilik menunggu yang disediakan bersebelahan wad ICU. Setelah itu kami menumpang menginap di balai pelawat yang disediakan pihak hospital. Kami ubah corak kehidupan untuk adaptasi dengan kehidupan baru tinggal didalam perkarangan hospital. Dalam keadaan mak yang tidak sedar itu, kami sentiasa bercakap-cakap dengan mak, memberi semangat dan perangsang supaya mak kuat dan cepat bangkit. Sedih. Dan setiap kali ke hospital saya akan diserang rasa risau, berdebar dan berat hati yang teramat sangat kerana kondisi mak yang sangat tidak stabil. Macam-macam boleh terjadi dan kami boleh kehilangannya bila-bila masa sahaja. Doa dan harapan tak pernah putus. Hanya pada Allah kami berserah.

Alhamdulillah, doa dan hasil usaha doktor berhasil apabila mak mulai sedar. Dia kemudiannya dipindahkan ke wad hematology. Pada peringkat ini lain pula cabarannya. Jika sebelum ini mak dalam keadaan tak sedar, sekarang dia sedar tapi tak berupaya. Ingatannya belum pulih. Fikirannya meracau. Sering kali dia tak kenal dengan anakknya sendiri. Dengan pangkal tekak dipasang alat tracheostomy, mak cuba bercakap walaupun tanpa suara. Komunikasi sangat sukar dirasakan. Pernah beberapa kali mak marah dan merajuk sebab tak ada yang faham permintaannya. Memujuknya pun bukan mudah. Keberadaannya membatasi apa yang diinginkannya. Terkadang dia rasa lapar dan haus. Teringin makan itu dan ini. Namun tak ada yang dapat kami berikan kerana dia masih diminta makan melalui Ryle’s tube. Andai saja dia tau yang kami pun tak pernah mau menyekat keinginannya.

Sementara mak di wad hematology, kami diminta untuk belajar cara-cara penjagaan dan mengurus mak. Dari memberi susu melalui Ryle’s tube, sedut kahak, fisioterapi, dan lain-lain. Setelah hamper 2 bulan keadaannya beransur membaik. Sedikit demi sedikit ingatannya mulai pulih, boleh mengangkat tangan, melakukan sedikit pergerakan dan sebagainya. Doktor kemudiannya menyarankan supaya mak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi untuk latihan mobiliti. Disana mak dijadualkan mengikuti fisioterapi, speech therapy, occupational therapy. Dalam masa tak sampai 2 minggu mak telah mampu berjalan menggunakan walking frame. Mak sangat gigih dan nak cepat pulih. Tak sabar nak bermain dengan cucu-cucu katanya.

Langit tak selamanya cerah. Satu hari mak batuk berdarah. Cemas dengan keadaan itu, mak dihantar semula ke unit kecemasa hospital. Setelah beberapa jam diperiksa, doktor membuat keputusan menahan mak di wad hematology kembali. Ujian kahak dibuat untuk memastikan keadaan mak. Doktor khuatir mak dijangkiti tibi. Setelah beberapa hari keadaan mak makin merosot dan lemah. Keputusan ujian menunjukkan mak diserang virus pseudomonas. Sewaktu tekanan darah dan kandungan gula dalam darah mak mendadak rendah, doktor memberitahu mak diserang strok. Mak kembali tak sedar. Kata doktor keadaan mak sangat tenat. Ada kemungkinan berlaku kerosakan pada saraf otaknya. Tak banyak yang mampu untuk doktor usahakan. Geram dengan kenyataan dari pihak doktor yang seakan tak mahu berusaha lagi. Layanan dan kepekaan dari jururawat juga dirasakan mulai menurun.

Kami tak patah semangat. Kalau tak ada yang mahu tolong menjaga kami akan ikhtiar cara kami sendiri. Mak pernah lalui saat sukar lebih dari ini. 2 bulan di ICU, mak masih tetap bangkit. Mak kuat. Kami percaya mak kuat. Kami upah jururawat peribadi untuk sama-sama bantu menjaga mak. Badan mak yang bengkak-bengkak mulai surut diurut jururawat peribadi. Luka bedsore juga cuba untuk dikawal. Tapi Allah sudah lama terlalu rindu untuk menjemput mak. Mak akhirnya pergi pada hari terbaik untuk dia menghadap penciptanya.

Alhamdulillah, kami lalui semua ujian ini dengan berlapang dada. Bukan hanya pesakit kanser yang harus berjuang seorang diri melawan penyakitnya. Orang-orang sekeliling juga harus turut sama memberikan sokongan yang terbaik selagi mampu dari segi masa, kewangan, fizikal, emosi, spiritual dan sebagainya. Setiap apa yang telah ditentukan akan tetap akan berlaku. Namun kita dituntut untuk terus berusaha mencari penawar dan berikan yang terbaik dalam setiap masa disamping sentiasa berdoa penuh pengharapan supaya semua kesulitan diberikan jalan keluar yang terbaik. Dan Allah pasti akan berikan yang terbaik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s