Pendahuluan
Perjalanan saya menjadi seorang perawat yang memberi tumpuan kepada kesihatan dari segi fisikal rohani dan jasmani bermula apabila ayah saya yang pada masa itu sedang sakit tenat, mengidap kanser berpesan kepada ibu saya , ” Ni suruh Aton jadi doktor, kalau ada yang sakit dalam keluarga kita senang, ada doktor dalam rumah.” Ayah saya meninggal semasa saya berada di tingkatan 4 dan selepas lulus MCE ( sebelum SPM ) dengan cemerlang, saya ditaja oleh JPA untuk mengambil kursus MBBCh ( medicine ) di Mesir.
Pada tahun akhir kursus perubatan, semasa saya sedang membuat persedian menghadapi peperiksaan akhir MBBCh, saya mendapat penyakit allergik yang agak teruk, sehingga mata saya bengkak berair dan saya sentiasa bersin. Setiap kali makan ubat allergi , saya jadi mengantuk dan perlu tidur. Ada seorang antara junior saya yang telah belajar homeopathy. Saya bertemu dengannya untuk dapatkan ubat . Dia memberi pada saya tiga bungkus kecil pil bulat, kecil dari telur cicak dan menyuruh saya hisap pil-pil itu setiap 12 jam. Sebaik saja saya ambil bungkus pertama, saya berasa tenang tetapi nafas saya menjadi berat sedikit . Malam itu saya tidur dengan selesa dan saya bangun pada pagi esoknya tanpa mata bengkak dan tanpa bersin. Yang lebih gembirakan saya, saya dapat menyapu bilik tanpa bersin . Dua bungkus lagi saya sudah tidak perlukan sebab penyakit saya telah hilang dengan bungkusan pertama itu . Kesembuhan yang datang dari Allah swt dalam bentuk seorang sahabat yang memberikan penawar homeopathy kepada saya telah membuat saya mencari pengamal Homeopathy setelah balik Malaysia dan bekerja. Saya jumpa guru pertama saya Dr Dali Muin di klinik homeopathynya di Kampung Baru dan dari saat itu pada tahun 1982 sehingga sekarang, saya masih terus mencari ilmu merawat diri dan juga orang ramai . Pengalaman ini yang saya akan kongsikan dalam blog ini dan juga akan saya jadikan sebuah buku.